Apabila seseorang dihadapkan ke muka pengadilan atas sesuatu kesalahan, dia akan dijatuhkan hukuman oleh hakim atau sesiapa saja yang diberikan kuasa untuk menjatuhkan hukuman. Seperti yang kita ketahui, sebelum hukuman dijatuhkan, akan ada pihak yang mendakwa, membela dan sebagainya. Perkara terakhir barulah hukuman dijatuhkan. Ke semua pihak yang terlibat dalam menentukan nasib pesalah akan mempengaruhi hukuman yang akan dijatuhkan. Di sini kita dapat lihat bagaimana jalan akhir atau halatuju pesalah atau pun yang didakwa (orang yang belum dibuktikan kesalahannya).
Persoalannya adalah, adakah setiap atau pun kebanyakan kesalahan itu mendapat hukuman yang setimpal? Mungkin kita akan mengatakan bahawa ianya terletak kepada hakim yang menjatuhkan hukuman. Namun, adakah ke semua hakim menjatuhkan hukuman dengan tepat? Jawapannya, bergantung...
Selagi kita bergelar manusia, pasti kesalahan dan kesilapan akan dilakukan. Bezanya adalah samada sedikit ataupun banyak. Begitu jugalah dengan hakim, tidak kira berapa lama pun tempoh sesuatu perbicaraan sesuatu kes itu berlangsung, jalan terakhir ataupun keputusan yang diperoleh tidak semestinya tepat 100%. Hakim dipengaruhi oleh peguambela, pendakwaraya, juri dan sebagainya. Ke semua mereka adalah manusia. Maka, seperti yang telah disebutkan tadi, kesilapan pasti akan berlaku . Tidak kira samada ia sering berlaku atau jarang berlaku, ia tetap berlaku. Jadi, bagaimana sekiranya seseorang hakim itu tersalah hukum? Masih jawapannya adalah, bergantung...
Ke semua daripada kita akan diadili jua akhirnya. Saya bercakap dari sudut agama Islam. Tentang akidah, apa yang kita semua percaya dan yakini tentang kehidupan setelah mati nanti. Di sanalah pengadilan yang sebenarnya. Semua pengadilan yang tidak adil atau pun yang tidak selesai di dunia ini, akan diadili dan diselesaikan sehingga tidak ada suatu pun yang tertinggal. Tidak ada lagi yang teraniaya. Semuanya akan mendapat hak dan balasan yang buruk dan baik. Semua bergantung atas apa yang telah diusahakan semasa hidup. Orang yang tidak gila tetapi menipu kononnya gila semasa melakukan kesalahan, dan akhirnya dibebaskan tanpa sebarang tindakan, akan dibongkarkan segala penipuannya itu. Dan orang teraniaya pula akan mendapat semula haknya yang telah dicabuli semasa di dunia. Akhir kata, hidup ini hanyalah sementara. Buatlah amal sebanyak yang mungkin. Ingatlah tentang hari pembalasan. Jauhi dosa. Wallahu'alam.
"Lebih baik tersalah ampun, dari tersalah hukum.."
Ulasan
Catat Ulasan