Perang Jamal

Umat Islam mula dilanda ombak fitnah semasa zaman pemerintahan  saidina Uthman bin Affan R.A. Khulafa ar-Rasyidin yang ke 3, apabila puak pemberontak yang diketuai oleh Abdullah bin Saba', seorang Yahudi, tidak berpuas hati di atas pemerintahan saidina Uthman.

Para pemberontak bertindak berani tanpa menghiraukan umat Islam yang berada di sekitar kota Madinah, apabila beberapa kali mengancam keselamatan saidina Uthman. Beberapa siri dialog juga berlaku antara khalifah yakni saidina Uthman dan puak pemberontak, namun dialog tersebut tidak pernah mencapai kata putus sehinggalah beliau dibunuh.

Malam sebelum Uthman dibunuh, beliau telah bermimpi berbuka puasa bersama Nabi. Di dalam mimpi tersebut, beliau telah diberitahu oleh Nabi agar jangan sekali-kali tunduk kepada permintaan puak pemberontak tersebut. Selain itu, pada hari Uthman dibunuh, beliau melakukan sesuatu yang luar dari kebiasaannya dengan memakai seluar, di mana sebelumnya dia tidak pernah memakai seluar bersama jubah. Mungkin ia merupakan petunjuk bahawa Uthman telah menyedari saat kematiannya hampir tiba.

Semasa diancam oleh pemberontak, sepupu Uthman iaitu Gabenor Syria ketika itu iaitu Muawiyyah sedang menghantar pasukan khas bagi membantu Uthman yang berada di saat genting ketika itu. Saidina Ali R.A juga melakukan perkara yang sama. Namun Uthman melarang apa-apa jua bantuan diberikan kepadanya, menyebabkan bantuan tidak dapat bertindak, melainkan para pemberontak menceroboh masuk terlebih dahulu ke rumah khalifah lalu membunuhnya. Ketika itu, isteri Uthman juga cedera apabila pemberontak memotong sebahagian jarinya dan merampas kain yang mempunyai kesan darah untuk dijadikan bukti bahawa mereka telah berjaya membunuh khalifah.

Selepas kewafatan Uthman, jajahan Islam ketika itu ketiadaan khalifah selama 5 hari sehinggalah Saidina Ali dilantik selepas mendapat bai'ah daripada sahabat-sahabat seperti Talhah dan Zubair al-Awwam. Sejurus selepas menjadi khalifah, saidina Ali memecat beberapa jawatan di dalam pentadbiran yang mempunyai kaitan persaudaraan dengan saidina Uthman. Muawiyah juga pada ketika itu dikatakan dipecat tetapi beliau mengingkari arahan tersebut kerana beliau mahu urusan qisas dijalankan terhadap pembunuh Uthman terlebih dahulu. Saidina Ali juga turut mengubah pusat pentadbiran Islam dari Madinah ke sebuah tempat iaitu di Kufah, Iraq. Tujuan perpindahan pusat pemerintahan/pentadbiran tersebut adalah kerana Kufah adalah tempat yang strategik, iaitu di tengah-tengah pusat jajahan Islam ketika itu seperti Semenanjung Hijjaz, Iraq, Parsi, Mesir, Syria dan beberapa buah kawasan lagi. Ada juga pendapat mengatakan tindakan Ali tersebut adalah bagi menghalang kemaraan Muawiyah ke Iraq.

Masa berlalu dan pembunuh Uthman masih belum ditangkap untuk dibicara. Dikatakan Ali belum bertindak sedemikian kerana ijtihad beliau. Malah, sebelum wafatnya Rasulullah, baginda ada berkata bahawa semasa zaman fitnah yang melanda, Ali lebih menghampiri kebenaran. Dengan ini dapatlah disimpulkan bahawa Ali berada di pihak yang benar, meskipun pemberontak yang membunuh Uthman belum lagi dihukum ketika itu.

Tidak lama selepas itu,  para sahabat seperti Talhah dan Zubair bersama-sama dengan Ummu Mukminin iaitu Saidatina A'isyah R.A, mengumpulkan kekuatan yang terdiri daripada umat Islam untuk berjumpa dengan khalifah Ali di Kufah. Di dalam kumpulan yang dipimpin oleh Talhah, Zubair dan A'isyah R.A itu, ada juga kumpulan yang datang dari Kufah dan Basra untuk bersatu di bawah satu bumbung kebenaran dengan hasrat untuk menyatupadukan umat Islam apabila tiba di Kufah nanti. Walaubagaimanapun, selepas menempuh suatu perjalanan yang amat jauh, setibanya di sebuah tempat bernama Basra, mereka semua bermalam di sana .

Mengetahui kedatangan kumpulan dari Madinah tersebut, puak pemberontak menjadi amat cemas kerana mengetahui bahawa mereka pasti akan dapat ditangkap dan dibunuh secara qisas apabila kumpulan dari Madinah tersebut bergabung dengan tentera khalifah Saidina Ali R.A. kelak. Oleh itu, pada malam tersebut, puak pemberontak  telah merancang sesuatu sebelum terbitnya fajar keesokan harinya.


Ulasan