Jika kita bertanya pada chatgpt atau apa jua jenis kecerdasan buatan yang lain, sudah tentulah jawapannya sentiasa kedengaran positif : AI hanyalah alat, AI bukan untuk mengambil alih atau menggantikan manusia sebaliknya untuk bekerjasama dengan manusia dan sebagainya.
Namun begitu, penulis tidak berpandangan sedemikian. Sekurang-kurangnya untuk jangkamasa pendek ini, mungkin AI banyak membawa kebaikan dan kelihatan tidak langsung mengancam manusia. Namun bagaimana dalam jangkamasa yang lebih panjang?
AI bukan sahaja menguasai pengetahuan manusia tetapi juga kemahiran berfikir, maklumat DNA dan genetik, emosi dan segala-galanya mengenai manusia. AI tahu apa kelebihan dan kekurangan manusia. Katakan pada suatu tahap, AI mendapati bahawa kelemahan atau kekurangan manusia harus diperbetul. Mungkinkah ia akan melakukan tindakannya sendiri? Contohnya seperti sekarang, emosi seperti SEDIH, KECEWA dan PUTUS ASA dilihat sebagai emosi yang lemah dan seolah-olah tidak bermanfaat . Mungkin emosi-emosi ini akan mengurangkan produktiviti manusia sedangkan AI tidak mempunyai sebarang emosi. Jika kita telah memprogram AI untuk menyingkir atau mengasingkan apa sahaja yang kurang bermanfaat, khuatir AI akan mengambil tindakannya sendiri samada kita sedar ataupun tidak.
Dari kaca mata manusia, sebenarnya apa sahaja jenis emosi walaupun kelihatan lemah atau seolah tidak bermanfaat, sebenarnya amat bermanfaat. Ini kerana manusia belajar dari kesilapan, begitu juga dengan emosi. Jika kita telah berusaha sedaya upaya namun masih juga gagal, bukan kah lebih baik untuk BERPUTUS ASA terlebih dahulu sebelum MERANCANG SEMULA dengan sesuatu yang lebih segar dan baharu?
Malangnya kecerdasan buatan tidak begitu. AI tidak perlu berputus asa. Jika AI tidak mempunyai maklumat atau tidak belajar tentang apa yang ia ingin lakukan, ia tidak akan melaksanakan tugas tersebut. Dengan kata lain, tiada istilah PUTUS ASA kepada AI. Inilah yang menjadi masalah kerana selain sifat putus asa manusia yang menjadi punca manusia itu berubah kepada sesuatu yang lebih baik, sifat ini juga sebenarnya menjadikan manusia mempelajari sesuatu daripada pengalaman.
Pada masa sekarang, kita lihat pelajar sudah ramai yang bergantung kepada chatgpt untuk belajar. Ini bukan sahaja mengurangkan kreativiti tetapi juga kemahiran berfikir manusia. Jika berterusan begini, mungkinkah lama kelamaan manusia akan menjadi semakin bodoh dan AI semakin pandai? Lama-kelamaan , aspirasi filem TERMINATOR dan UNIVERSAL SOLDIER menjadi sesuatu yang realiti. AI bukan sahaja mengambil alih kerja manusia, tetapi mungkin menguasai genetik manusia, masuk ke dalam tubuh badan manusia, sedikit demi sedikit bercantum dengan sistem biologi manusia dan akhirnya terciptalah manusia AI yang bukan lagi manusia. Tidak berperasaan, tidak kreatif dan hanya melakukan mengikut sesuatu yang bukan lagi manusia.

Ulasan
Catat Ulasan